MENCARI DAN MEMBERI MASA UNTUK ANAK
Petikan Dari Buku “Sentuhan Ibubapa”
Ameen Publication
SEMUA ORANG SIBUK
Semua orang sibuk. Saya, penulis buku ini pun sibuk. Dulu sewaktu saya bertugas sebagai Profesor Madya, Timbalan Dekan, Penggawa (ketua kolej kediaman pelajar) serta Pengerusi pelbagai jawatankuasa akademik di Universiti Sains Malaysia cukup terasa kehimpitan masa. Sukar untuk saya luangkan masa untuk keluarga. Ada sajalah tugas yang perlu diselesaikan, projek yang perlu dibereskan dan mesyuarat yang perlu dipengerusikan. Itu tidak termasuk tugas-tugas pengajaran, penyelidikan serta perjumpaan dan diskusi dengan pelajar kuliah saya.
Saya fikir apabila saya meninggalkan USM dan bekerja sepenuhnya masa sebagai penceramah profesional di mana saya bebas mengagihkan masa untuk kerja dan keluarga, maka saya kurang sibuk.
Rupanya saya silap. Kesibukan sebenarnya bukan bergantung kepada jenis kerja atau pangkat seseorang, walaupun kedua-dua faktor tersebut turut mempengaruhinya. Ia banyak bergantung kepada kebijaksanaan (atau sebaliknya) seseorang merundingkan prioriti-prioritinya dalam aktiviti harian. Persoalan ini akan dibicarakan dengan lebih lanjut lagi di bab 13 buku nanti.
Bagi anda yang merasakan bahawa kesibukan anda sukar untuk leraikan dan ditangani dengan berkesan dalam situasi kerja sekarang, justeru hampir putus asa untuk berbuat apa-apa, sila renung dan fikirkan senario di bawah.
IBUBAPA TIDAK BOLEH DIGANTI
Apakah anda fikir syarikat atau organisasi tempat kerja anda sangat memerlukan anda ?
Apakah anda fikir kalau anda mati syarikat atau organisasi itu akan lumpuh ?
Apakah anda fikir anda seorang saja yang tahu buat kerja itu atau tahu tentang projek itu ?
Apakah anda fikir buat masa ini tidak ada sesiapa yang boleh mengambil alih tugas anda ?
Oh … sebab itulah anda pulang lewat setiap hari. Kemudian bawa balik fail dan bekerja pula di hujung minggu. Oh, ya … sebab itulah anda menangguhkan rancangan untuk cuti bersama keluarga ke resort peranginan tersebut. Ya, ya, ya … sebab itu jugalah anda sentiasa mengumpul dan memindahkan cuti anda ke tahun berikutnya. Kini saya faham anda adalah orang penting dalam syarikat atau organisasi anda. Tanpa anda organisasi atau syarikat anda …..
Anda membuat kesilapan besar. Cukup besar ! Tahu tak ? Anda mementingkan diri sendiri. Ya, betul !
Apabila anda bekerja kuat, anda akan dinaikkan pangkat; dapat insentif kerja; dipilih sebagai pekerja cemerlang; semua orang akan merasa bangga dengan anda; masa depan anda di syarikat atau organisasi itu terjamin cerah.
Oh tidak, tidak ! Apa, kami tidak mengerti ?
Apa ? Anda berkata kami tidak mengerti dan anda telah disalahtafsir ? Anda buat semua itu untuk keluarga anda. Anda bekerja kuat demi anak anda ? Oh … anda mahu menyimpan dan menabung wang untuk menghantar anak anda ke sekolah yang terbaik ? Ya, ya, ya anda juga berkata yang penting bukan diri anda tetapi keluarga anda ?
Anda salah sebenarnya ! Anda tidak tahu apa yang berlaku dalam keluarga anda sendiri !
Setiap kali anda bawa balik fail untuk bekerja pada hujung minggu, isteri anda sedih sebab dia sudah berjanji dengan anak anda bahawa anda akan membawa mereka bersiar-siar di tepi pantai seperti mana yang anda selalu war-warkan kepada mereka.
Setiap kali anda menangguh rancangan untuk bercuti bersama keluarga ke pulau tertentu isteri anda menangis keseorangan sebab dia tahu anak-anak anda akan kecewa lagi.
Kamu tahu tak, setiap kali guru besar sekolah anda bertanya kenapa si ayahnya tidak hadir pada hari penyampaian hadiah sekolah anak anda, isteri anda terpaksa berbohong kerana mahu menjaga nama baik anda !
Malah isteri anda cukup rasa bersalah kerana dia selalu juga berbohong kepada anak-anaknya sendiri semata-mata mahu memelihara hubungan baik anda dengan anak-anak anda. Kamu tahu tak, setiap kali mereka memarahi bapa mereka (sebenarnya mereka dah mulai mengutuk anda) isteri anda terpaksa mempertahankan anda bermati-matian.
Biar saya beritahu anda. Isteri anda pun sudah tidak tahan lagi dengan karenah anda tu. Dia sudah tidak berkuasa lagi untuk terus mempertahankan anda di hadapan anak-anak anda. Malah dia sudah mengesyaki bahawa anak-anak anda mula berfikir bahawa ibu mereka pun sama sebab lebih sayang pada ayah mereka, bukan pada mereka. Mereka pun hampir putus harapan kepada ibu mereka. Apakah kamu sedar semua ini ?
Kamu hanya tahu memberi pelbagai alasan, menangguhkan cuti tahunan, membawa balik kerja pejabat ke rumah, menelefon sewaktu bersantai di rumah dan bercakap dengan panjang lebar kepada boss kamu mengenai kerja-kerja pejabat. Sudahlah tu, sanggup pula kamu tolong buat kerja bagi pihak rakan sepejabat kamu yang bercuti. Kamu bermurah hati benar menggantikan kerja mereka. Kenapa sekali sekala kamu juga tidak suruh mereka mengganti kerja kamu ?
Oh, lupa. Kami lupa. Maaf ya, sememangnya kami terlupa. Kerja kamu tu, siapa pun tak boleh ganti. Kalau kamu tidak buat kerja tu siapa pun tak boleh buat. Malah bos kamu pun berharap kepada kamu. Seluruh warga syarikat bergantung harap kepada kamu. Hebat betul kamu ! Syabas. Tahniah.
Oops … dengar sini. Kerana tidak cukup rehat, otak serabut memikirkan kerja yang bertimbun-timbun belum sempat dibereskan, tidak pernah mengambil masa untuk beriadah atau bersukan, maka kesihatan kamu semakin merosot. Tidak lama kemudian kamu meninggal dunia.
Tetapi tahukah kamu punca sebenar kematian kamu berdasarkan rumusan panel doktor pakar syarikat ? Kencing manis ? Sakit buah pinggang ? Barah ? Tidak !. Ya lah kamu ada sedikit sebanyak tunas-tunas penyakit itu, tetapi kematian kamu bukan disebabkan itu. Bagaimana mahu terang kepada kamu ya ?.
Oh ya, di negeri Jepun mereka istilahkan punca kematian kamu sebagai “karoshi”, yakni mati kerana terlalu kuat bekerja. Lazimnya ia terkena kepada orang yang bekerja 10 ke 12 jam sehari 6 atau 7 hari seminggu bekerja. Sebab utama ialah serangan jantung dan tekanan kerja.
Tahniah kerana kamu sememangnya kagum dengan orang Jepun. Oh, ya kalau tidak silap kamu bekerja kuat selepas pulang dari berkursus di Kyoto Jepun lima tahun lalu. Kamu mahu semua pekerja bekerja di syarikat kita bekerja macam orang Jepun. Maaf hanya beberapa orang sahaja yang bersetuju dengan kamu. Agak-agaknya apa yang akan terjadi ya kalau kami semua kakitangan syarikat kita bekerja kuat macam orang Jepun seperti mana yang kamu sarankan itu ya ?
Ya, sehari dua selepas kamu meninggal dunia, orang akan kenang jasa kamu. Mereka akan memuji-muji kerajinan kamu bekerja. Kamu akan dijadikan sebagai “pekerja mithali” dan “sumber inspirasi” pekerja lain. Orang akan menjemput anak-anak dan isteri kamu dan buat satu majlis bagi mengenang jasa kamu kepada syarikat. Anak isteri kamu akan dapat wang ganjaran dan wang kesihan belas dari kakitangan syarikat. Barangkali kamu akan mendapat hadiah istimewa (maaf, isteri kamu akan diberi hadiah istimewa bagi pihak kamu).
Maka ramailah rakan-rakan kamu, isteri rakan-rakan kamu akan mengucapkan takziah kepada isteri kamu. Sesetengahnya akan memeluk isteri kamu sambil menitiskan air mata dan berbisik kepada telinga isteri kamu meminta agar ia bersabar. Mereka juga akan memberikan pesanan yang sama kepada anak-anak kamu.
Mereka akan membohongi anak kamu dengan mengatakan “Uncle … atau Auntie … kenal dengan bapa kamu tu, dia selalu menyebut nama kamu … maaf nama kamu siapa ?” Anak sulung kamu menjawab “Shauki, Anis dan Aiman” dan sambung orang itu “Ya, betullah tu … dia selalu cerita kepada kami betapa hebatnya anak-anaknya, dia sungguh bangga dengan kamu. Jadi belajarlah rajin-rajin ya”.
Ya, bagus sungguh kakitangan syarikat tempat kamu bekerja. Mereka cukup prihatin kepada kamu. Mereka cukup mengenang jasa kamu. Mereka juga sedih kerana tidak ada siapa lagi yang boleh menggantikan kerja mereka agar mereka boleh pergi bercuti bersama keluarga.
Dengar sini ya. Sekarang dengar betul-betul. Sebenarnya pada hari kamu meninggal dunia, hari berikutnya juga tempat kamu diganti orang. Maaf, bukan hari berikutnya, tetapi pagi tu kamu mati, sebelah petang sudah ada orang mengambil alih tempat kerja kamu. Syarikat sampai hari ini berjalan lancar. Semua projek di bawah jagaan kamu dulu kini tidak pula bermasalah. Cuma saya diberitahu pegawai yang menggantikan tempat kamu berjaya mendapatkan dua orang lagi staf lain untuk berkongsi kerja yang kamu lakukan seorang diri dulu. Sekarang mereka sudah tidak bercakap mengenai kamu lagi. Ya, ada la sekali sekala.
TETAPI saya difahamkan isteri dan anak-anak kamu masih sedih dengan kematian kamu. Amat sukar bagi mereka menerima realiti ketiadaan kamu. Di syarikat ada orang yang boleh menggantikan kamu dengan mudah. Di rumah tiada siapa boleh berbuat demikian. Ya, mana boleh orang menggantikan kamu. Kalau pun isteri kamu berkahwin lagi (saya difahamkan ada beberapa orang yang sedang menimbang perkara itu !) ia tidak sama dengan kamu. Ia tidak boleh menggantikan kamu. Seteruk macam manapun kamu, anak-anak kamu tidak akan mendapat balik ayah kandung mereka.
Pada keluarga kamu, kehilangan kamu amat dirasai sampai ke hari ini. Di syarikat, tempat kamu telah diganti, tetapi kepada keluarga kamu, tidak ada pengganti untuk dirimu.. Ya … kamu buat silap sebenarnya. Kenapa kamu terlalu utamakan syarikat dan mengabaikan keluarga. Ingat anak-anak kamu perlukan kamu sewaktu kamu hidup bukan perlukan wang insuran setelah kamu mati. Isteri kamu dahagakan kasih sayang suaminya. Ya mungkin dia akan berkahwin lain, namun tidak boleh ambil tempat kamu.
Lain kali (maaf tidak ada lain kali) beri masa untuk anak, luangkan masa untuk keluarga, beri masa untuk diri sendiri dan beri masa untuk Allah. Kesibukan kerja tidak ada nokhtahnya.